Sunday, April 5, 2009

Ikan pontianak




Haiwan bermulut bulat dan gigi tajam hisap darah hidupan asal di perairan Amerika 

NAMA Tasik Besar Amerika Utara sememangnya tidak asing bagi kita. Namun, secara diam-diam Tasik Besar yang luas ini berdepan kemusnahan teruk akibat kehadiran spesies makhluk perosak yang kecil, dikenali sebagai ikan lamprey atau ikan 'pontianak.' 

Ikan menyamai belut, mempunyai mulut bulat dan bergigi tajam ini pula bukannya penghuni asal, sebaliknya berhijrah secara tidak sengaja dari Lautan Atlantik pada abad ke-19.

Caranya memusnahkan spesies lain juga menyeramkan - giginya yang tajam digunakan bagi ‘melekatkan’ dirinya pada ikan lain sebelum mengorek isi dan menghisap darah serta cecair pada mangsanya itu. 

Ini menyebabkan ikan itu dalam tempoh beberapa minit akibat kehilangan darah selain jangkitan kuman. 

Ancaman dibawa ikan lamprey ini pula bukan kecil sebaliknya menyebabkan kemusnahan yang besar kepada habitat asal di kawasan berkenaan.


Ikan salmon menjadi mangsa Lamprey laut.










Setiap tahun agensi yang bertanggungjawab mengawal pembiakan ikan Lamprey terpaksa membelanjakan lebih AS$20 juta (RM70juta) untuk melaksanakan pelbagai kaedah mengurangkan pembiakannya termasuk menggunakan arus elektrik, pelepasan ikan lamprey jantan mandul dan semburan racun khas. 

Pada era 1930 hingga 1940-an kehadiran ikan lamprey secara tidak terkawal mengakibatkan industri perikanan air tawar di Tasik Besar terjejas teruk berikutan kemusnahan ikan asal termasuk ikan tamban air tawar, trout dan ikan putih. 

Kepupusan ikan asal Tasik Besar menyebabkan satu lagi spesies ikan tamban dikenali alewife membiak terlalu banyak dan memburukkan lagi kemusnahan ekologi di tasik berkenaan. Ikan ini juga dipercayai menjadi punca utama jumlah beberapa ikan lain terjejas berikutan kandungan bahan kimia thiamine di dalam isinya menyebabkan ikan lain yang memakannya menjadi mandul. 

Berikutan itu, ahli sains dan penyelidik tidak jemu menjalankan kajian bagi mencari kaedah terbaik mengawal dan seterusnya menghapuskan ikan lamprey.

Terbaru, penyelidik Amerika berjaya menghasil dan melepaskan sejenis hormon seks tiruan ikan lamprey jantan bagi menarik ikan betina berenang ke hulu sungai dan diperangkap. Kejayaan itu dilaporkan dalam sidang Akademi Sains Kebangsaan baru-baru ini. 

Langkah menggunakan hormon tiruan ini dipercayai kali pertama dilaksanakan dalam usaha mengawal haiwan perosak selain serangga. 

"Kajian mengenai penggunaan hormon haiwan sedang dilakukan dengan meluas, malah kajian terhadap manusia turut dibuat," kata ketua penyelidik dari Universiti Michigan State di East Lansing, Amerika, Profesor Weiming Li.

Bagaimanapun kata beliau kebanyakan penyelidik menganggap, oleh kerana ciri ikan ini yang kompleks, tabiat mereka juga sukar ditentukan hanya dengan kajian ke atas satu hormon. 

Kumpulan penyelidik Profesor Li baru-baru ini melepaskan hormon tiruan lamprey jantan di sebuah anak sungai yang menjadi tempat lamprey membiak. 

Lamprey betina yang terbau hormon itu mula berenang ke hulu sungai sehingga bertemu sumbernya dan sebilangannya berjaya diperangkap untuk dimusnahkan. 

Pusingan hidup semula jadi ikan lamprey bermula daripada penetasan di sungai dan kehidupan dewasa di laut apabila ia mula menjadi ikan parasit dan bergantung hidup dengan darah dan cecair ikan lain yang dihisapnya sehingga menyebabkan ikan itu mati. 

Ikan lamprey betina dan jantan yang kekenyangan akan mencari hulu sungai yang sesuai untuk bertelur dan mati. 

Berbeza dengan salmon yang mencari anak sungai asal pembiakannya, lamprey boleh membiak di mana-mana sungai. 

“Hormon tiruan ini mungkin boleh digunakan untuk menarik lamprey ke kawasan sungai yang tidak sesuai untuk pembiakan.” 

Di habitat asal lamprey di Lautan Atlantik, bilangan haiwan ini dikawal pemangsa semula jadi tetapi di Great Lakes ia tidak mempunyai pemangsa. 

Lamprey laut pertama kali muncul pada tahun 1800, selepas pembinaan Terusan Erie yang mengubungkan tasik itu dengan New York selesai. 

Lamprey mula membiak dengan tidak terkawal apabila satu lagi terusan yang dibina menyediakan ‘pintu masuk’ kepadanya ke bahagian hujung tasik dan ini menjadi permulaan kemusnahan besar-besaran ikan asal di Great Lakes. 

"Apa yang terjadi adalah perkara paling buruk pernah berlaku dalam sejarah penempatan orang Eropah di wilayah ini," kata Dr Marc Gaden dari Suruhanjaya Perikanan Great Laakes (GLFC) badan yang bertanggungjawab menangani maslaah lamprey. 

Beliau berkata sebelum 1930-an penduduk bergantung kepada ikan asal seperti trout sebagai punca pendapatan, tetapi menjelang 1940-an lamprey menghuni beribu-ribu anak sungai dan menjejaskan dengan teruk industri menangkap ikan di Great Lakes. 

Kebanyakan ikan boleh hidup sama ada di air tawar atau air masin saja, atau seperti ikan salmon berhijrah dari lautan ke sungai, tetapi lamprey mampu membiak ketika ia bergerak dari Atlantik ke kawasan air tawar Tasik Besar. 

Setiap seekor ikan lamprey boleh memusnahkan sehingga 20 kilogram ikan trout sepanjang tempoh ia menjadi 'parasit' 

"Kami amat teruja dengan penghasilan hormon tiruan ini kerana bagi kami ia satu lagi kaedah menangani masalah ikan lamprey. Ia mungkin boleh digunakan untuk memanipulasi tabiat mereka dan memusnahkannya," katanya. 

Profesor Li dan pasukannya kini merancang eksperimen lebih besar iaitu menggunakan hormon untuk memerangkap lamprey betina di 20 anak sungai. Ujian ini dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. 

INFO: Lamprey laut 

  • Lamprey laut atau nama sainsnya Petromyzon marinus 

  • Asal dari Lautan Atlantik, boleh ditemui di timur Amerika dan Kanada 

  • Hanya wujud di kawasan Tasik Besar 

  • Kali pertama dikesan pada 1936 di Tasik Michigan 

  • Mempunyai bentuk seakan belut, keluarga ikan tanpa rahang yang sudah wujud sejak zaman dinosaur, panjang antara 20 hingga 40 sentimeter, bahagian belakang berwarna coklat gelap, bermulut bulat dengan gigi tajam, mata besar berwarna merah 

  • Menjadi ikan parasit apabila dewasa 

  • Ikan lamprey air tawar ditemui di perairan Washington, sesetengahnya menjadi ikan parasit dan ada yang tidak 

  • Ikan lamprey air tawar parasit: silver lamprey, chesnut lamprey 

  • Ikan lamprey air tawar bukan parasit: Spesies northen brook lamprey, American brook lamprey.


  • *sumber dari Berita Harian


    No comments: